hoki malaysia vs korea selatan SKUAD HOKI SASAR 10 TERBAIK DUNIA LAYAK KE OLIMPIK LONDON 2012

Skuad hoki negara menetapkan sasaran untuk layak ke Olimpik London 2012, sekali gus memperbaiki kedudukan ranking dunia yang kini berada di tangga ke-13. Layak ke temasya sukan terbesar dunia itu membolehkan Malaysia berada dalam kalangan 10 pasukan terbaik dunia.

Kini, segala-galanya disandarkan kepada 25 pemain yang terlibat dalam program Road To London. Difahamkan, skuad kebangsaan kendalian Tan Beng Hai bakal mengadakan lima perlawanan persahabatan menentang China pada 10 hingga 20 Januari depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ia sebagai ujian simulasi untuk skuad hoki negara menghadapi Korea Selatan pada Kelayakan Hoki Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland, Mac depan. Selain Korea Selatan, Malaysia turut diundi bersama pasukan tuan rumah Ireland, Rusia, Chile dan Ukraine.

Perlawanan kelayakan tersebut dijadual berlangsung pada 11 hingga 18 Mac depan dan hanya juara akan layak beraksi di London pada tahun depan bersama Australia, Argentina, Belgium, Jerman, Great Britain, Belanda, New Zealand, Pakistan dan Afrika Selatan yang telah layak secara rasmi.

Selepas aksi persahabatan menentang China, skuad kebangsaan akan ke India untuk menghadapi lima siri perlawanan pada 28 Januari hingga 4 Februari 2012.

Jika dilihat dari segi rekod, skuad hoki negara pernah layak sebanyak sembilan kali di Olimpik manakala pencapaian terbaik adalah menduduki tangga kelapan pada temasya Olimpik Munich 1972 di Jerman Barat.