TERENGGANU TERENGGANU MASIH BELUM TEMUI PEMAIN IMPORT BERKUALITI

Terengganu kini terdesak mendapatkan khidmat pemain import berkualiti untuk diserap dalam skuad Liga M musim depan. Terengganu kini dalam usaha memohon agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import yang berakhir pada 8 Disember ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, jika FAM terus tidak berganjak daripada keputusannya, Terengganu mungkin tidak menggunakan khidmat awang import musim depan kerana masa untuk mendaftar hanya tinggal tujuh hari.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, pasukan Terengganu telah menghantar pulang 10 pemain import selepas kesemua mereka gagal memikat hati barisan penilai dalam sesi pemilihan yang diadakan sejak 22 November lalu.

Menurutnya, walaupun hingga kini sudah 10 pemain import termasuk dari Brazil, Nigeria, Zambia dan England datang mencuba nasib bersama Terengganu, mereka gagal memenuhi kriteria ditetapkan PBSNT.

Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, selain tidak memenuhi kriteria yang diperlukan, rata-rata kualiti yang dimiliki pemain asing itu jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan.

Justeru katanya, beberapa lagi sesi ujian dan pemilihan akan dilakukan bagi mencari dua pemain import yang benar-benar mempunyai pakej lengkap dalam usaha membentuk sebuah pasukan mantap musim depan.

Beliau turut menjelaskan, dua lagi pemain asing dari Nigeria bakal diuji Isnin ini apabila Terengganu turun pada aksi persahabatan menentang skuad Sukma negeri.

Dalam pada itu, Mat Zan tanpa berselindung mengakui sasaran utamanya dalam kempen Liga M musim depan adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala bagi menyamai pencapaian pasukan Terengganu tahun ini.

Terengganu bakal beraksi dalam playoff untuk ke pentas Piala AFC tahun depan selepas mesyuarat yang diputuskan AFC. Dengan hanya Kelantan sahaja yang akan layak secara automatik ke Piala AFC. Manakala Kedah tidak layak beraksi di kejohanan itu.

sumber/olahan -mymetro/utusan

sumber gambar – kosmo