ZULFAHMI KHAIRUDDIN PELUMBA MOTO GP NEGARA, HAMPIR MENDAPAT KEMENANGAN PODIUM PERTAMA

zulfahmi MOTO GP PORTUGAL 2012   ZULFAHMI DI TEMPAT KEEMPAT MOTO3

Hasrat pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin untuk menjadi pelumba pertama Malaysia menaiki podium pada perlumbaan motosikal Dunia tidak kesampaian apabila menduduki tempat keempat pada Grand Prix Portugal di Estoril semalam.

Bagaimanapun ia adalah kedudukan paling cemerlang dalam karier pelumba kelahiran Banting, Selangor itu selepas beraksi pada tahun ketiga dalam saingan Moto3 bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo.

Pada satu ketika Zulfahmi berada di kedudukan podium apabila menduduki tempat ketiga pada pusingan ke-11 tetapi ketika berbaki satu pusingan lagi dia gagal mempertahankan kedudukan tersebut dan dipintas pelumba Kalex KTM RW Racing GP, Luis Salom.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, Zulfahmi mempamer tunggangan yang cemerlang untuk bersaing pada kedudukan tempat ketiga dan keempat.

“Suatu hari nanti Zulfahmi pasti akan menaiki podium, kami sangat bangga dengan pencapaiannya hari ini. Dia mungkin sedikit kecewa kerana terlepas peluang menaiki podium tetapi ini adalah keputusan terbaik pernah diraih,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Utusan Malaysia semalam.

Zulfahmi memulakan perlumbaan dari petak kelima, namun pada pusingan kedua dia menduduki tempat keenam sebelum kembali merampas kedudukan tersebut dan melonjak ke tempat keempat pada pusingan kesembilan.

Pada pusingan ke-11 dia berjaya memintas Salom untuk menduduki tempat ketiga namun ketika berbaki satu pusingan lagi dia dipintas semula pelumba Sepanyol itu.