KEPUTUSAN PENUH HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 – MALAYSIA IKAT KOREA SELATAN 1-1 DI PERLAWANAN PERTAMA

malaysia KEPUTUSAN HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012   MALAYSIA IKAT KOREA SELATAN DI PERLAWANAN PERTAMA

Skuad Hoki kebangsaan berjaya mengikat pasukan ranking keenam dunia iaitu Korea Selatan dalam perlawanan pertama di hari pembukaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke 21 2012 di Stadium Sultan Azlan Ipoh sebentar tadi.

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah kali ini menyaksikan skuad negara turun dengan beberapa muka baru dari skuad hoki remaja yang baru sahaja memenangi gelaran Remaja Asia, seperti Mohd Rahmadan Rosli, Noor Faeez Ibrahim dan Norhizzat Sumantri yang memperolehi cap antarabangsa pertama mereka beraksi untuk skuad senior negara.

Pemain dalam skuad remaja yang lain yang turut tersenarai adalah Faizal Saari, Mohd Firhan Ashaari dan Amir Farid Ahmad Fuzi yang telah mewakili dan beraksi untuk skuad senior negara sebelum ini. Hanya Mohd Fitri Saari tidak disenaraikan dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan bermula berhati-hati tetapi Malaysia, mula mengasak seawal minit pertama dan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pada minit ke 6. Namun gagal dimanfaatkan oleh Faizal Shaari yang mengambil pukulan tersebut.

Seminit kemudian Faizal mempunyai satu lagi peluang untuk memberikan Malaysia gol pendahuluan tetapi dia gagal menyempurnakan peluang tersebut.

Walau bagaimanapun, Korea Selatan yang pantas melakukan serangan balas akhirnya berjaya mendahului melalui Seo Jong Ho pada minit ketujuh permainan.

Malaysia memperolehi satu lagi sudut penalti pada minit ke 20 dan tolakan Mohd Razie Abdul Rahim mudah disekat pertahanan Korea.

Korea mempunyai peluang untuk menggandakan gol pada minit ke 34 tetapi Jang Jong-hyun menolak bola terlalu tinggi dan ditampan oleh S.Kumar.

Gol penyamaan skuad negara hanya hadir pada minit ke 56, apabila Marhan Jalil bijak mengelecek pertahanan dari sebelah kiri gawang Korea dan melorongkan bola tepat kepada Faizal Shaari.

Faizal yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang gol Korea Selatan untuk mengembirakan hampir 7,000 peminat yang hadir.

Bagaimanapun, menuju tamat perlawanan, Korea Selatan dihadiahkan pukulan sudut penalti oleh pengadil dari Pakistan, namun berjaya disekat oleh barisan pertahanan negara.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Malaysia berkongsi 1 mata dengan Korea Selatan. Dan akan berdepan Great Britain dalam perlawanan kedua esok (25 Mei) jam 6.00 petang di Ipoh.