HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012 – DUA JARINGAN FAIZAL SHAARI BANTU MALAYSIA IKAT GREAT BRITAIN
KEPUTUSAN PENUH MALAYSIA VS GREAT BRITAIN HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2012
Skuad Hoki Malaysia berjaya mengelak dari mengalami kekalahan kepada Great Britain, pasukan ranking keempat dunia apabila berjaya menjaringkan 2 gol dibabak akhir menerusi Faizal Shaari di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh petang tadi.
Ini merupakan perlawanan kedua skuad hoki negara dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 selepas mengikat Korea Selatan 1-1 semalam, juga menerusi jaringan Faizal Shaari.
Great Britain yang juga tuan rumah sukan olimpik London, bermula baik dengan menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan. Malaysia sekali sekala melakukan serangan balas namun kerap dipatahkan oleh barisan pertahanan Great Britain.
Great Britain mendahului seawal minit ke 4 apabila Glenn Kirkham berjaya memecah pertahanan Malaysia. Glenn yang menerima hantaran Matt Daly mudah menolak masuk ke gawang gol Malaysia melepasi penjaga gol S.Kumar.
Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad kebangsaan yang menerima sorakan padu peminat hoki di Ipoh, bangkit menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Azlan Misron melalui satu set-piece yang menarik pada minit ke 9.
Ketika pertahanan Great Britain menjangkakan satu pukulan terus akan dilakukan oleh Amin Rahim, namun sebaliknya. Amin Rahim yang mengambil pukulan itu, menolak kembali kepada Azlan Misron dibahagian kiri gawang Great Britain dan melakukan satu tolakan kuat menerjah gawang gol.
Namun Britain yang menguasai perlawanan, menjaringkan gol kedua melalui Ashley Jackson yang memukul dengan kencang ke gawang Malaysia selepas menerima hantaran Nick Catlin pada minit ke 20.
Skuad negara dilihat agak longgar dibarisan pertahanan dan kekurangan ini dihukum oleh Rob Moore yang menjaringkan gol ketiga Great Britain pada minit ke 25.
Ketika perlawanan seakan akan memihak Great Britain, Faizal Shaari berjaya menjaringkan 2 gol pada minit ke 67 dan minit berikutnya, kedua-duanya hasil flick terbalik menewaskan penjaga gol Great Britain.
Kejayaan mengikat Great Britain yang menduduki ranking keempat dunia ini, merupakan satu kejayaan selepas melihat anak buah Tai Beng Hai seolah-olah akan tewas pada perlawanan ini.
Malaysia kini mengumpul 2 mata hasil 2 perlawanan. Hari ini skuad negara tidak akan beraksi. Perlawanan seterusnya adalah menentang India pada 28 Mei ini jam 8.05 malam. Jangan lupa saksikan siaran langsung Malaysia vs India Hoki Piala Sultan Azlan Shah 28 Mei 2012 di Astro Arena 801.

supaya hoki piala sultan azlan shah dapat ditayangkan di tv 1……supaya dapat sorakan team malaysia bagi yg tak da astro