KELANTAN HAMPIRI GELARAN TREBLE – MARA KE FINAL PIALA MALAYSIA BERTEMU ATM 20 OKTOBER INI
KELANTAN VS ATM FINAL PIALA MALAYSIA 20 OKTOBER 2012
Kelantan menghampiri impian mereka untuk meraih gelaran treble musim ini selepas mara ke Final Piala Malaysia 2012 setelah membenam cabaran gergsai merah Selangor di Shah Alam malam tadi.
Dua gol dari pemain import Muhamad Ghaddar dan kapten Badri Radzi cukup mengukuh agregat Kelantan 3-0 ke atas Selangor selepas membawa bekalan 1 gol dari Kota Bahru pada perlawanan pertama untuk merebut slot di perlawanan akhir bertemu ATM pada 20 Oktober ini.
Kejayaan ini sekaligus membantutkan impian Selangor untuk meneruskan misi 33 mereka musim ini yang dibawa sejak musim-musim yang lalu, namun masih gagal diterjemahkan.
Selangor pula harus menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana barisan penyerang mereka kurang bijak mencuri peluang biarpun memperoleh beberapa peluang keemasan untuk merobek gawang lawan.
Kelantan hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Ghaddar pada minit ke-12 tetapi tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norzalan Razali.
Ghaddar kembali mempamerkan persembahan cemerlang pada minit ke-38 dan hampir membuka jaringan menerusi percubaan dari jarak jauh tetapi sepakannya dinafikan kecekapan Norzalan.
Tersentak dengan asakan pasukan pelawat, Selangor kembali bangkit menyusun serangan namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan The Red Warriors.
Peluang terbaik Selangor hadir menerusi rembatan padu penyerang import, Bosko Balaban pada minit ke-44 namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menggandakan asakan menerusi gandingan Amri Yahyah, Balaban dan kapten, Safiq Rahim tetapi usaha mereka tetap buntu.
Selangor yang terdesak untuk memburu gol bagi memadam kelebihan jaringan Kelantan, hampir di depan menerusi Balaban namun percubaan itu berjaya di dakap kemas oleh Khairul Fahmi pada minit ke-49.
Ghaddar akhirnya berjaya memecah benteng pertahanan Selangor sebelum mengelecek empat pemain Gergasi Merah sebelum menewaskan Norazlan untuk gol pertama Kelantan.
Badri Radzi yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke 80, melengkapkan malam bergaya The Red Warriors menerusi sepakan percuma pada minit ke-85 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Selangor terus dihukum apabila menyaksikan Bosko Balaban dilayang kad merah apabila penyerang import Selangor itu menyiku pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri pada minit ke- 87.
Walaubagaimanapun, Kelantan bakal beraksi di final tanpa dua tonggak utama iaitu Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Muhamad selepas kedua-duanya menerima dua kad kuning.
Kelantan akan bertemu ATM pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober 2012. Dan dijangka satu lagi perlawanan menarik bakal berlangsung nanti.
Jangan lupa untuk menyaksikan final Piala Malaysia 20 Oktober 2012 Kelantan vs ATM yang akan disiarkan secar langsung di RTM1 dan Astro Arena 801 jam 8.40 malam.
Link Live streaming akan dikongsikan nanti seperti biasa dan keputusan perlawanan akhir ini akan dibawakan dari masa ke semasa.
